Wednesday, July 28, 2004

bila ditanya pada sang bulan ....

Bila ditanya pada sang bulan
Katanya malam penuh kenangan
Namun kan hilang ditelan zaman

Bila diadu pada sang bintang
Kerdipan sembunyi siang menjelang
Yang tinggal hanya angan seorang

Di mana lagi mahu dicari
Di mana lagi akan kutemui
Seorang insan
Yang datang bersama cahaya bulan
Beriringan dengan kerdipan bintang

Jauh agaknya impian teruna
Mengharap kasih lena di riba
Sedangkan tahu hajat tak mungkin terlaksana
Namun tak salah memasang cita-cita
Tiada yang melarang
Tiada yang menegah
Asal tahu tuju dan arah

Hari ini mungkin hubungan terlarang
Tanpa sempadan kaki berjalan
Diumpat hina adam dan hawa
Tapi yang merasa diriku hanya
Apa yang mampu mereka membantu?
Sedih dan pilu tergalas di bahu

Tuesday, July 27, 2004

sate!!!!

GURNEY DRIVE  8.30 malam

Sate – sedapnya!  Sedang enak makan sate, aku dapat phone call, hmm dari Cikgu Kimin.  Hehe..hati aku ketawa, bayangkan baru aja beberapa cucuk makan sate tetiba hujan lak, kami lari tinggalkan sate tu … hmmm membazir!  Masuk Mc Donalds pesan kentang je!  Hisshh sambil sembang tu teringat lak aku sate yang ditinggalkan.

Cikgu Kimin – slalu jauh di mata tapi aku tahu dia sentiasa ada di jiwa.  Buktinya?  Semangat dia macam sama dengan aku.  Kepedihan di simpan, walaupun bukan yang baik untuk di amalkan tapi aku mengajar diri aku untuk terus mengenali apa itu erti ‘ketabahan’.

Cikgu Kimin punya keluarga, punya kerjaya, punya masa yang terlalu berharga.  Tapi yang istimewa, dia masih tahu menilai ‘hubungan’ aku dan dia.  Sesekali aku bersyukur pada Yang Maha Esa kerana temukan aku dengan dia, setiap insan dalam hidup aku datang bersama kebahagiaan yang tersendiri, nyatanya masih ada yang menyayangi aku di saat sebahagian lagi yang pergi tanpa tahu nilai sebuah ‘cinta’.

Cikgu, nanti kita makan sate lagi ok?  Harapnya kali ini hujan tak turun lagi!

Sunday, July 25, 2004

pantai berbisik

Tadi malam aku ke pantai, seingat aku dah lama aku tinggalkan pantai.  Dulu masa di bangku sekolah, pantai jadi teman setia, di situlah biasanya aku mengulangkaji.  Aku tenang sangat di pantai.  Tapi sejak mula bekerja, pantai bukan lagi teman setia.  Yang ada cuma teman sepanjang perjalanan.  Waktu pagi pantai di kiri aku, waktu petang pantai di kanan aku, begitulah seharian.

Pernah juga aku rungutkan, bosannya setiap hari lihat pantai tapi aku tahu pantai tak pernah merungut melihat aku setiap hari melalui jalannya. 

Pantai pasirnya putih.  Bersih. 

Tadi aku ke pantai tapi sebelah malam, hanya bertemankan bulan.  Di situ aku lihat ada sinar malam terus menusuk ke tengah lautan.  Aku tidak seorang.  Di sisiku ada kenangan. Di pantai inilah aku meluahkan segala perasaan.  Suka, duka, terkilan dan segalanya.  Di pasir pantai aku corakkan semua rasa dendam, ketidakpuasan dan kesengsaran dalam aku menghadapi ujian.

Sepuas-puasnya aku dah berbisik pada pantai, lihatlah aku yang sedang diuji.  Suaraku perlahan tapi aku yakin pantai mendengar keluhan aku.  Deruan ombak terus memukul pantai seolah olah mengerti dan simpati.

Hatiku tersenyum, ada kelapangan di dada.  Setiap masa yang berubah ada ketentuan dan kita sebagai manusia perlu banyak mengakui kekuasaanNya.

Pantai bersuara : redhalah manusia!

 

I WISH

 
I WISH

 
I wish
I was a bird
I would have feathers all over my body
And a pair of wings
So that I could fly wherever I wish

 
I wish
I was a bird
I want to fly all over the world
Meeting all the people
Make them smile
Smile to the world

 
I wish
I was a bird
A bird with beautiful colors
A bird with beautiful eyes
I want to sing a song to every people that I meet
I want to changed their sadness to happiness
After they meet
A bird like me

 
I wish
I was a bird


lelaki dalam cermin
27th February 2004

surat untuk AWAK

Assalammualaikum !

Kehidupan.  Satu tempoh ujian yang susah untuk kita terangkan bila kita melalui rasa suka dan bila kita melalui masa duka.  Yang pastinya, kita melaluinya tanpa diketahui bila datang dan pergi.  Dan kita antara insan terpilih untuk menerima ujian ini.

Satu ketika saya merasakan hidup ini terlalu indah buat saya dan pada satu ketika lagi saya bagaikan mahu dilahirkan semula untuk menempuhi segala yang positif sahaja dan saya sedar ianya bukan satu ‘mimpi’ yang baik.

Saya suka belajar dari pengalaman insan lain.  Saya cuba memahami, saya cuba melalui untuk keperluan diri saya sendiri tapi secara jujurnya saya masih gagal membawa diri.  Saya masih punya daya untuk tersenyum, sekurang kurangnya pada mereka yang ada di sekeliling saya kerana tanpa semangat mereka saya tak mungkin terus di sini.

Hari demi hari saya kongsi segala kasih dan sayang yang ada dalam diri saya dengan harapan kasih dan sayang yang saya taburkan itu akan kembali pada diri saya…ianya kembali tapi hanya untuk sementara : kasih tak lama.

Biar berjuta  tahun sekalipun kita gembira, ianya mudah terhapus bila sesaat kita berduka.  Setiap kali diziarahi rasa kecewa, saya sembunyikan dengan hilai tawa.  Namun jauh di sudut hati saya, tak ada sesiapa yang mungkin dapat membacanya.

Biarlah saya hadiahkan senyuman pada semua, sekurang kurangnya saya melakukan sesuatu untuk kebahagiaan insan lain.  Bila rasa sunyi begini, saya teringat pada mereka yang mencuri hati dan membawanya pergi.  Mereka pergi tanpa ada sedikit rasa belas untuk saya.  Bila difikirkan…kejamnya manusia!

Saya mahu terus hidup, saya tahu saya punya semangat untuk itu.  Saya mahu terus berdiri bukan tidur diulit mimpi. 

Ini bukan coretan biasa tapi catatan kehidupan dari hari hari suka melangkah penuh duka.  Hari ini bukan semalam untuk diuliti rasa pedih dan sedih.

Teman, doakanlah agar hidupku ini terus disinari cahaya kebahagiaan kerna aku tahu selama ini kita disatukan dengan rasa keikhlasan dalam persahabatan yang tak mampu dilihat mata tapi bisa dirasa jiwa.

Salamku untukmu.

 

Di jiwa ini ada tersimpan rahsia yang terluka.

Saturday, July 24, 2004

dia seorang PENARI

Penari lelaki?  Eiiii….lembut, gayboy, maknyah, jantan jalang hmmm semua ada – itu yang digambarkan oleh masyarakat bila disebut kerjaya sebagai penari lelaki atau lebih manis dalam sebutan Artis Budaya.

Aku mulakan kerjaya sebagai penari sewaktu berusia 12 tahun sampai sekarang.  Salahkah menjadi seorang penari?  Terlalu indah dunia seni tari – mungkin hanya itu yang boleh aku katakan kerana aku melaluinya.  Aku tak boleh nak menafikan terlalu banyak unsur negatif dari positif tapi bagi aku terpulang pada stiap individu! Itulah .. inilah .. banyak sangat godaan sebenarnya!

Dengannya aku kini dah melangkah setapak lagi dalam dunia kerjaya aku.  Dan aku bangga sebenarnya dalam usia sebegini aku mampu mencapai sesuatu yang diingin-inginkan setiap penari iaitu mempunyai produksi seni sendiri.

Sekurang-kurangnya (kata mak) aku dah buktikan pada segelintir masyarakat, aku mampu melakukan sesuatu yang mereka rasakan mustahil. 

Malam ini aku akan ‘menari’ lagi.  Satu lagi persembahan yang diberikan pada produksi aku!  Mak, anakmu tak akan mensia-siakan peluang yang ada – untuk keluarga kita!


Jom menari !

Thursday, July 22, 2004

kau pergi jua

Wajahmu
Seindah serinya pelangi yang indah
Seharum mawar putih segar berkembang
 
Wajahmu
Mengapa sering terbayang dimataku
Sehingga terbawa didalam mimpiku
 
Sayangku
Tahukah kau didalam hatiku ini
Tersimpan perasaan cinta nan suci
 
Kau bungaI
Ingin kusuntingmu menjadi milikku
Lantas kuabadikan dalam jiwaku
 
Sayangnya
Harapan yang selama ini kubawa
Hancur berkecai musnah jua akhirnya
Semuanya bagaikan sebuah mimpi
 
Kau pergi jua
Setelah cinta ku kini membara
Belum sempat kucurahkan kasihku
Kau pergi tak kembali...
 
aku cinta dia.  cinta yang terlalu bermakna.  aku langsung tak tahu kenapa aku perlu cinta dia sedangkan satu ketika dulu aku membencinya!  dari hari ke hari aku mencintai dan terus mencintai.   setelah sekian lama kami bersama, dia pergi dengan kesalahan ditinggalkan pada aku. 
 
semuanya mengajar aku menjadi lebih dewasa.  jangan terlalu menyayangi sesuatu yang belum pasti menjadi milik kita.  dah tersurat agaknya pertemuan itu ada perpisahan.  tapi aku hanya mampu menerima sebuah kehidupan yang berakhir dengan kematian bukannya perpisahan yang ada seribu alasan.
 
di ruang ini, aku mahu semua tahu : hargailah insan yang menyayangi kita.  mencintai insan yang mencintai kita lebih bermakna sebenarnya.

kita memendam rasa

Kita memendam rasa
Tak mungkin ku lafazkan
Kita cuba mendusta
Tak pernah ku fikirkan
Namun tak mungkin terpisah
Itulah janji yang pernah tercipta
 
Lupakan kisah duka
Kita tanggung semula
Kasih yang pernah terbina
Dua teman yang setia
 
Janganlah dipersia
Sgala yang terjalin indah
Tak pernah kita menduga
Biar takdir menentukan
Segalanya
 
 
Meminati seseorang tapi kelu untuk melafazkan sebuah perasaan?  Hmm, pernah korang alami apa yang aku alami?  Sure pernah…kekadang bila difikirkan kembali, ianya melibatkan perasaan tapi kalau kita simpan, sampai bila?  Dan bagaimana jika kita kehilangannya kepada orang lain sebelum sempat kita sampaikan apa yang kita rasa?  Biar kita luahkan tapi ditolak dari tidak meluahkan dan kita kehilangan, get what I mean?
 
Ishkk..bukan senang  nak melafazkan rasa hati ni..tapi aku banyak luahkan sebenarnya!  Dengan sms, dengan email, dengan telefon malah secara realitinya, rasa rindu .. rasa sayang .. rasa cinta senantiasa ada di bibir aku untuk kengkawan.  Dorang tahu aku ikhlas sayang dorang.  Cuma untuk yang tersayang … agak sukar dan aku percaya biarlah ianya keluar dari bibir ini untuk sesekali agar lebih bererti. 
 
Sesekali rasa sunyi datang dalam diri.  Ntahlah…ader gak rasa serik untuk mencintai dan dicintai. Bintang dah cakap tadi pada aku : jangan terlalu percaya pada CINTA kerana lebih banyak duka dari suka!  Mungkin..tapi aku juga percaya ada lebih banyak suka dalam duka.
 
Hari ini aku masih seorang diri, melihat sekeliling, mensyukuri apa yang ada, satu ketika nanti mungkin datang cinta dan waktu itu jika aku telah bersedia, apa salahnya?  Mungkin cinta itu akan jadi lebih bermakna.  Itu doaku…

milan acosta

SIBUK – hanya itu perkataan yang boleh aku gambarkan dalam masa dua hari ini, bukan kesibukan bekerja sebaliknya kesibukan ‘jalan-jalan’.  Tanpa di rancang, Milan Acosta teman dari Sydney Australia datang secara tiba-tiba, mahu bercuti di Malaysia katanya.  Dari Bali (19 Julai) trus ke Penang dan tadi (22 Julai) baru saja aku hantar dia ke airport untuk penerbangan ke Bangkok!  Hmmm…jalan sakan mamat ni!  Kaya?  Bukan itu yang mahu aku katakan di sini tapi keikhlasan dalam perhubungan, aku jadi macam mimpi kerana masih ada orang seperti dia yang tahu menghargai perhubungan jarak jauh seperti kami (dah dua tahun aku kenal dia dan pertama kali berjumpa)  Singkat tapi tepat – dia seorang yang mudah  mesra, peramah, sopan dan paling aku suka, sederhana!  Kami berhubung hanya menerusi email dan telefon.  Dan itu sudah mencukupi untuk kami mulakan detik persahabatan.
 
Jika orang Malaysia mengada-ngada di negara sendiri, tidak bagi dia di rantauan orang malah kawan-kawan aku jadik suka plak malah ada yang terlebih suka bila aku kenalkan dengan Milan.  3 malam cukup untuk aku ‘melihat’ sesuatu yang ada dalam diri Milan.  Dia mahukan teman, dahagakan kasih sayang yang menurutnya semakin sukar di cari, kasih terlalu agung kerana datangnya dari hati yang dianugerahkan Tuhan pada manusia.  Biarpun dipisahkan agama, di jiwanya penuh dengan nilai insan yang aku rasa terlalu berharga. 
 
Milan baru sahaja pulang.  Aku mahu cari ‘MILAN’ di Malaysia.  Sukar…tapi tidak mustahil rasanya.
 
Masih aku ingat lagi semalam dia terlalu gembira bila aku hadiahkan dia sepasang Baju Melayu berwarna kuning lengkap songket emas, songkok dan sepatu.  Katanya itulah hadiah yang paling istimewa dalam hidupnya.  (mungkin setakat ini)  Lagaknya bagai anak teruna mahu ke majlis akad nikah.  Aku senyum sendiri, teruna Malaysia belum tentu menghargai nilai budaya sendiri, sudah lumrah agaknya budaya kita lebih dihargai masyarakat asing.
 
Kata Milan tadi dia punya ramai teman tapi tak akan sama seperti aku!  Janjinya akan kembali ke sini kerana dia ‘tertinggal’ sebuah kenangan yang tak akan dia lupakan. 


Semoga ada usia untuk aku kembali bersua dengan dia – MILAN.

Monday, July 19, 2004

Biarkan aku ....

Monday Blues tapi aku suka Monday.  Mungkin sebab aku suka bekerja dan memang jenis tak boleh duduk diam.  Sebab apa aku tak bleh duduk diam ek?  Hmm…panjang ceritanya.  Satu waktu di hari majlis perkahwinan si dia, awal Subuh lagi aku dah keluar dari rumah.  Percintaan 3 tahun lenyap dalam satu hari saja.  Aku percaya qada dan qadar Allah tapi aku juga percaya bertepuk sebelah tangan tak mungkin berbunyi. Katanya dia terpaksa mengikut kemahuan keluarga. Aku faham …  siapa aku.  Seorang lelaki yang baru tamat pengajian tanpa pekerjaan.  Masih mencari arah dan haluan tapi hari ini aku bangga dengan kehidupan aku – sekurangkurangnya aku tahu di mana aku berdiri. 
 
Sejak itu, kesibukan adalah kehidupan.  Sedikit sebanyak ianya melarikan aku dari kepahitan.  Aku suka dengan kepantasan masa yang berlalu.  Biarpun kadang kadang aku sepi. Sunyi.
 
Dia?  Ini yang membuatkan aku simpati, hanya simpati – tak banyak yang boleh aku bantu di kala ini.  Masih belum punya cahayamata dan kehidupannya bergolak tanpa punca.  Sesekali aku dengar kepedihannya di corong telefon.  Dah aku katakan tadi – siapa aku untuk melakukan sesuatu yang mengubah keadaannya kini.
 
Keluarganya?  Hanya mampu menundukkan wajah bila berselisihan dengan aku. 
 
Keluarga aku?  Alhamdulillah … baru aku tahu, aku punya mak, ba, abang dan adik adik yang sentiasa bersama aku.  Sejak peristiwa perpisahan itu, aku hanya punya mereka yang banyak memberikan aku semangat.
 
Aku?  Masih seperti dulu, ahhh bohong!  Aku dah berubah.  Aku yang mengubah diri aku atau keadaan yang membawa aku ke sini?  Jawapannya masih aku cari.  Yang aku tahu aku telah melangkah jauh dalam kehidupan yang serba mencabar ini.  Namun, masih punya batasan untuk terus aku berada di sini, yang nyata aku selesa di sini.  Di sini ada kasih sayang, ada harapan untuk aku pegang.  Di sini ada cinta, biarpun aku tahu ianya tak selama mana.


Biar aku dengan duniaku. 

Sunday, July 18, 2004

Dia - yang telah pergi dan tak akan kembali ...

AL FATIHAH – hanya itu yang mampu aku hadiahkan buat seorang kenalan kepada kenalan aku.  Tak mampu aku untuk menziarahi jenazahnya, tak ada daya untuk aku lihat sekujur tubuh yang kaku tanpa nyawa.  Hari ini seorang lagi insan pergi menyambut panggilan Ilahi.  Seorang lelaki, seorang penuntut IPT, berusia 20 tahun (maut tidak mengenal usia) menemui ajal dalam kemalangan jalan raya.  Dia telah pergi dan kita masih di sini – tanpa sedar untuk melihat sejauh mana perjalanan yang telah kita tempuhi.  Seharian aku melihat diri aku yang penuh kekurangan, hari ini terasa insaf atas apa yang telah aku lakukan tapi esok?  Berat sungguh dugaan Tuhan.  Dibekalkan kita sekeping hati untuk kita melalui sebuah kehidupan dengan penuh perasaan tapi kita seolah semakin lupa dari hari ke hari kita jauh dihanyutkan nafsu yang tak berpenghujung.  Aku tahu aku adalah antara insan yang terpilih untuk menerima ujian Allah.  Tapi sejauh mana rasa kesedaran ini yang esoknya akan hilang entah ke mana.
 
Bayangan wajah wajah orang tersayang yang telah bersemadi mula hadir di fikiran.  Aku bisu.  Harapnya bukan setakat hari ini aku sedar kekurangan diri ini.

 AL FATIHAH untuk mereka.

Biarkan Bintang Menari

 
Biarlah…bintang bintang di langit itu menari.  Aku tahu bintang-bintang gembira di atas sana kerana aku sering berkongsi cerita dengan mereka – cerita tentang kehidupan aku yang penuh suka duka.  Dan sering juga mereka menasihati aku supaya jangan terlalu menyayangi kerana itulah yang sering memakan diri tapi siapa aku menidakkan perasaan yang terlalu mudah simpati, terlalu mudah berkongsi anugerah Ilahi ini (menyayangi dan menyayangi)  Sesekali mahu juga aku membawa diri dan lebih menyayangi diri aku sendiri. 
 
Tuhanku, aku bersyukur dengan nikmatMu yang membuatkan aku tak sunyi dari teman-teman, semata mata kerana sifat sayang ini.  Aku disayangi malah aku yang lebih menyayangi. 
 
Oh bintang, mahu rasanya aku terbang ke sana dan tinggal bersama kalian, mahu aku lihat manusia-manusia di bumi sana yang hidup dengan penuh pura-pura.  Aku tahu tak mungkin impianku bersatu tapi sekurang-kurangnya aku dapat ‘melihat’ banyaknya ragam manusia yang tak bersyukur dengan anugerah pemberianNya.
 
Bintang, teruslah menari kerana aku janji aku akan setia melihat persembahan tarimu.  Janji ya, kaulah penghibur hati.  Sering, saban hari aku lihat di dada langit malam, tari-tarimu menyentuh hati, kerdipan sinar yang kau berikan terlalu indah untuk dibayangkan.
 Selagi ada hayat ini aku akan terus memerhati – menarilah bintangku!

Friday, July 16, 2004

cerita lelaki di dalam cermin

lelaki dalam cermin
 
 
“Dah lama ke Hakim?”
 
“Hampir 2 tahun, Is”
 
“Aku….aku tak tahu nak cakap apa,”
 
“Tak payah la kau cakap apa-apa, aku ceritakan pada kau pun sebab kau kawan baik aku.  Aku tak minta simpati cuma aku harap kau mengerti apa yang sedang aku lalui.”
 
Biarkanlah saja diriku
Sendirian tanpamu
Biarkanlah aku merindu sekian lama
Bukan maksud untuk membisu
Sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian
Mungkinkan bersama dua jiwa ini
Dalam mencari cinta sejati
Mungkinkah segala derita di jiwa
Akan terubat kini
 
“Ah, lagu ni sama ngan jalan hidup aku.”
 
“Jangan emosional sangat Hakim.  Life must go on, kau jangan lak nak tension-tensionkan diri kau tu, tapi cuma satu aku nak cakap, kau masih belum terlambat lagi kalau kau nak berubah.  Kau kena sedar Hakim, apa yang sedang kau lalui ini bukan jalan yang sebenarnya.  Tenangkan diri, fikir bebaik.  Kalau kau nak bantuan, aku sentiasa kat sini.  Aku kenal kau sejak dari kecik.  Ok?”
 
“Aku pun tak tahu mana pergi ketegasan aku, hilang agaknya!  Aku tahu apa yang aku buat ni salah tapi salahkah aku?”
 
“Ishk, kau ni Hakim.  Aku…”
 
“Kau tak payah cakap apa-apa Is.  Cukup kalau kau faham.”
 
ISKANDAR.  Dialah satu-satunya sahabat aku, sejak kecil aku dengan dia.  Sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan tempat kerja.  Tak aku sangka, kami tak pernah berpisah jauh.  Kalau aku pandang balik zaman kanak-kanak kat kampung, terlalu indah nak aku gambarkan dengan perkataan.  Cepat benar masa berlalu, tak terasa waktu berjalan.  Tapi hidup aku berubah sekarang.  Suci dalam debu.  Indah hanya di luar namun sebaliknya?  Semuanya kerana seorang perempuan, seorang ratu di hati aku, satu ketika dulu.
“Tak ada apa lagi yang nak aku ceritakan pada kau, Is.  Cukuplah dengan apa yang aku tanggung selama ini, mungkin silap aku, percaya sangat pada dia.”
 
“Hakim, yang berlaku biarkanlah.  Kau pun dah dewasa, jangan cepat melatah dengan ujian.  Banyak-banyakkan bersabar, aku akan sentiasa sokong kau, kalau kau ada masalah, jumpa aku ok?” Iskandar menabur janji.
 
“Kau dah banyak bantu aku.  Kali ini, biar selesaikan sendiri masalah aku.  Aku yang cari nahas sebenarnya.  Hehehhe” aku mula ketawa.
 
Iskandar senyum lebar.
 
Di pantai itu, kami duduk sampai senja, tanpa bicara.  Aku diam, dia pun diam.  Mungkin otaknya sedang berfikir tentang apa yang aku dedahkan padanya tadi, sebuah cerita mustahil, yang sukar diterima akal tapi dia terpaksa menerimanya.  Hehehe, aku ketawa lagi tapi kali ini di dalam hati.

 
 
Tenang rasa hati aku bila berehat di balkoni.  Bintang-bintang dan bulan kat langit banyak menemani aku, sejak beberapa tahun kebelakangan ni.  Dah puas aku bercakap dengan bulan dan bintang, tapi tak pernah ada suara dari mereka!  Tiba tiba aku dengar bulan bersuara:
 
Kata Bulan             :  Sinarku penuh keindahan alam tapi hanya seketika menemani malam.
 
Kata Bintang            :  Kerdipanku hilang bila siang, yang tinggal hanya anganmu seorang!          
 
Kata Aku            :  Di mana nak aku cari dia yang datang dengan sinar bulan dan kerdipan bintang?
 
Telefon bimbitku berbunyi.  Aku terkejut.  Jam di tangan tepat 12 tengah malam.
 
“Rina” hatiku bersuara.
 
“Assalammualaikum, Hakim.” Suara gadis itu merentap hatiku.
 
“Waalaikumussalam.” Hatiku sayu, sayu, sayu, bayangan kenangan terus melintas di ruang ingatan.  Aku tak minta kenangan itu datang sekarang.  Dah banyak yang aku buang, kenapa kenangan itu datang lagi?
 
“Selamat Hari Lahir, Hakim.”
 
“A aaa…terima kasih.  Rina, terima kasih.  Mmm….”
 
“Hakim apa khabar?” Rina memotong kataku, mungkin dia sedar aku gugup barangkali.
 
“Alhamdulillah.  Rina macam mana?  Kat mana sekarang ni?”
 
“Baik.  Rina di Kuala Lumpur.”
 
“Dah tiga tahun kan!  Tiga tahun lalu di hari lahir Hakim…Rina hadiahkan Hakim dengan ucapan perpisahan…hari ini…”
 
“Cukuplah Hakim.   Rina salah.  Hari ini Rina hubungi Hakim bukan lagi untuk menyakitkan hati tapi Rina nak suarakan rindu Rina, sayang Rina yang Rina simpan.”
 
“Rindu dan sayang dah hilang Rina.  Tapi tak apalah…Hakim tak nak lagi merasai rasa sedih, dah cukup penderitaan yang Hakim lalui.”
 
“Rina tahu.  Iskandar ceritakan semua pada Rina.”
 
“Is?”
 
“Hakim, terimalah apa yang berlaku selama ini sebagai ketentuan takdir.”
 
“Rina, nasib baik Rina telefon Hakim sekarang setelah Hakim dah buang semua kepahitan dalam hidup Hakim. Mmm…terima kasih.  Hadiah hari jadi  tak ada ke? “
 
“Hehehe….nanti Rina kirim kay….” Aku tersentuh bila mendengar tawanya.
 
“Tak der lah, gurau je…mmm dengarnya dah dapat baby?”
 
“……………………………….”
 
Malam itu hampir dua jam aku bergayut di telefon.  Husband Rina out-station.  Mmm…so Rina ni kira curang ke?  Hehehe…ntahlah!  Rina dah ada dua orang baby, setahun sorang, aktif betul budak ni, tiga tahun dulu aku berpisah ngan Rina disebabkan family Rina tak kasi kitaorang kawan.  Manalah pipit dapat terbang dengan enggang.  Terlalu banyak cerita aku dengan dia.  Nampaknya sebaik-sebaik lelaki macam aku ni kecewa jugak dengan percintaan.  Waktu putus tu, jangan cakap la macam mana tensionnya!  Tapi sekarang aku dah ok.  Adilkah hubungan yang putus itu?  Hisshhh, waktu tu penat aku fikir, berkurung dalam bilik sehari-harian.  Nasib baik mak ada.  Kata mak, setiap kejadian diaturNya.  Janganlah di fikir sangat. 
 
Tapi, Rina dah kahwin, suaminya ahli perniagaan, dah hidup senang dengan anak-anak, dan aku?  Aku berjaya jugak!  Event production aku dah berjaya, aku ada syarikat sendiri, perpisahan sebenarnya membawa aku kepada kejayaan, kata orang kejayaan setiap lelaki ada wanita di belakangnya.  Wanita?  Mmm…nanti aku fikirkan siapa wanita di belakang aku.
 
Malam itu aku tidur nyenyak setelah dua jam bergayut!  Yang aku tension, kenapa Iskandar tak wish aku pun?  Malam, temankan aku tidur…..sejuk!
“Selamat Hari Lahir, Encik Hakim.” Bergema suara staff aku sebaik saja aku melangkah masuk opis pagi tu.
 
Kaki aku macam terpijak gam yang paling kuat dalam dunia.  Melekat.  Tak pernah aku diraikan macam ni.  Dalam ramai-ramai tu aku tengok Iskandar tersengih macam kerang busuk.
 
“Terima kasih.” Akhirnya aku bersuara dan melangkah ke arah kek 2 tingkat, (fuiyyoo..dua tingkat tu!)
 
Pagi itu meninggalkan satu lagi kenangan istimewa untuk aku.  Dari bilik, aku dapat lihat 10 orang staff aku bertungkus lumus dengan kerja masing-masing.  Aku sendiri tak menyangka dalam usia 25 tahun aku dah memiliki sebuah syarikat sendiri.  Wajah Rina di dalam frame gambar aku pandang dalam-dalam.
 
“Encik Hakim, ada bungkusan” intercom dari Sherry, setiausaha aku melarikan aku dari lamunan.
 
“Mmm…bawa masuk ke bilik I.”
 
Besar.  Itu saja dapat aku gambarkan bungkusan yang aku terima. 
 
“Besarnya teddy bear!”  Sherry bersuara girang bila bungkusan itu aku buka.
 
“Eh, siapa pulak hadiahkan saya teddy bear ni?” aku bersuara bingung lantas mencari-cari catatan pengirimnya.
 
“Saya suka teddy bear ni, Encik Hakim.  Kalau …..”
 
“Kalau apa?  Kalau saya tak nak, kasi awak?” aku potong ayat Sherry. 
 
“Hehehe….errr….tak per lah Encik Hakim, saya keluar buat kerja dulu…”
 
“Ha, elok la tu.”
 
 
Assalammualaikum
 
Hakim, Selamat Hari Lahir.  Dari hati yang ikhlas ini, ingin Rina suarakan bahawa Rina masih sayangkan Hakim seperti dulu, biarpun sudah berkeluarga, rasa kasih ini tak pernah hilang dari hati Rina.  Hari demi hari Rina simpulkan kenangan kita di sudut hati.  Bersama hadiah ini, Rina sertakan 1095 kuntuman bunga yang Rina hasilkan sejak tarikh perpisahan kita sebagai tanda ingatan.  Rina percaya kepedihan Hakim selama ini telah berbayar dengan kebahagiaan.  Semoga Allah sahaja dapat membalas keikhlasan Hakim menyayangi Rina selama ini. SALAM SAYANG.
Rina
Senja itu aku di tepi pantai, ombak menemani setiap air jernih yang gugur dari kepolak mata aku.  Dah jemu agaknya ombak-ombak ini menyaksikan seorang lelaki yang kecewa, aku banyak menipu diri aku.  Senyum ketawa di luaran sedangkan aku merana di dalam jiwa.  Ahhh, biarkan.  Sekurang-kurangnya aku dapat bahagiakan hati orang lain.  Sedih?  Biarlah aku kongsi seorang…errr..dengan Iskandar pun!  Hehehhehe…..
 
“Sedih je!  Jangan dikenang benda yang berlaku.”
 
Aku pusing ke belakang, mamat mana ntah.  Aku tenung matanya, sumpah…aku  tak kenal pun.
 
“Saya, Amir.  Selalu saya kat sini, menikmati pemandangan senja di tepi pantai, banyak kali juga lihat Encik…..”
 
“Err, nama saya Hakim.” Spontan aku meneruskan kenyataannya yang tak habis tu!
 
“Aha..Encik Hakim.  Selalu saya lihat Encik Hakim kat sini.  Macam ada sesuatu yang dikongsi dengan alam.”
 
Aku ketawa kecil.  Puitis giler mamat ni bercakap.  Aku memang selalu kat sini, kongsi cerita dengan laut, dengan langit, dengan burung, errr…puitis lagi aku….
 
“Mmm…saja je tengok laut, rasa tenang.”
 
Angin lembut menyapu wajah aku.  Perbualan kami terhenti seketika.   Nun di tengah laut, ada sebuah kapal pesiaran berlabuh.  Alangkah indah kalau aku dengan Rina…aarrghhh…perempuan tu lagi!
 
“Alam ini memang indah, beruntung kita ditempatkan di sini biarpun untuk seketika.  Sekurang-kurangnya kita dapat merasai betapa agungnya Pencipta kita.” Amir bersuara lagi.
 
Dan kami terus mengenali antara sesama.
 
Amir, 27 tahun, mamat hensem, bekerja dengan syarikat ayahnya, Tan Sri Kamaruzaman, siapa yang tak kenal dengan Tan Sri Kamaruzaman, pemurah dan berjaya dalam kehidupan!  Mmm..kekok juga aku mulanya nak terus kenal dengan Amir ni, maklumlah..anak orang kaya!  Tapi dia berjaya membuang jauh kerisauan aku.  Senja itu aku dan dia bagaikan sudah lama kenal.  Dan senja itu menyaksikan yang aku telah membongkar cerita pedih aku.  Hishh…aku sendiri tak tahu macam mana aku boleh kongsi cerita dengan Amir sedangkan aku baru saja kenal dengannya.  Amir pula ada cerita pilunya sendiri.  Dan aku terkejut dengan pendedahannya.  Ku sangkakan seorang anak yang berada dan dikenali akan hidup dengan penuh kebahagiaan, sangkaan aku silap.  Amir sunyi dalam dunia kemewahannya, sunyi tanpa kasih sayang.  Wajah mak dan ayah yang meninggal dalam kemalangan setahun lalu datang menerpa di depan mata aku.  Dan aku juga sunyi kini  tapi tinggalan kasih sayang mereka masih bersamaku.
Hari-hari aku segar kembali sejak mengenali Amir.  Rasa macam bercinta! Hehehe…benar!  Itu yang aku rasa.  Sejak mengenali Amir, hidup aku dah terisi.  Hiking, shopping, lunch, dinner, rock climbing, clubbing dan memacam lagi aktiviti aku ngan Amir.  Staff aku kat pejabat pun rasa lain dengan aku, kata dorang aku dah banyak berubah.  Ntahlah….semangat dah lain rasanya.  Sehari tak dengar suara Amir, boleh pitam. Tambahan pulak Amir banyak memberi peluang perniagaan kepada syarikat aku, senang di buatnya!  Tapi aku tak menggunakan Amir, dia beri jalan so pepandai aku la buat jalan!  Hehehehe…..
 
“Hakim, nak pegi Cameron Highlands tak hujung minggu ni?”
 
“Huh?  Cameron Highlands?” sku sedikit tersentak.
 
“Eh, apasal macam terkejut je?”
 
“Err..tak ada apa, ok jugak.  Dah lama tak melancong, boleh la rehatkan diri sikit!”
 
Aku teringatkan Rina lagi.  Kami pernah sama-sama ke sana dulu.  Cepat sangat masa berlalu.  Segala keindahan dah hilang di depan mata aku sendiri.  Dan kali ini aku akan ke sana lagi, mengimbau satu kenangan yang tertinggal di sudut hati.

 
 
Sejuk.  Macam tu jugak dah sejuk cinta aku.  Kali ini aku nak bercuti, tak nak lagi memikirkan perkara-perkara tension! 
 
Malam itu aku dan Amir makan steamboat, wow!  Kegemaran aku ni, dah lama tak makan, dalam sejuk-sejuk tetiba dapat makan makanan panas-panas, nikmatnya fuhhh, tak dapat nak dibayangkan!  Aku dan Amir rancak berbual-bual, sepertimana rancaknya kami makan!  Aku gembira sebenarnya.  Amir banyak mempengaruhi perubahan aku, tak ada lagi perkataan sedih dalam hidup aku dan aku lihat Amir sendiri pun dah banyak berubah!  Dulu sewaktu awal kenal dengan Amir, dia tak macam ni, baguslah…suara hati aku.
 
Kitaorang lepak kat taman malam tu, ikutkan hati aku nak je balik ke bilik hotel sebab dah tak tahan sejuk, tapi Amir nak berehat kat taman dulu.  Aku ikut aja.
 
“Hakim, Amir nka cakap sikit…”
 
“Cakap la Mir…memang dari tadi kau cakap tak henti-henti.” Aku buat lawak! 
 
Amir senyum tapi macam kelat.  Lawak aku tak jadi agaknya.
 
Suasan malam tu sunyi kembali.  Yang aku dengar hanya bunyi unggas malam.  Aku ternanti nanti butir-butir suara Amir tapi masih belum ada.  Aku peluk diri aku sendiri.
 
“Hisshhh, mamat ni, tadik nak cakap apa ntah!” hati aku memberontak.
“Hakim tahukan Amir dahagakan kasih sayang?  Sejak kenal dengan Hakim, hidup Amir banyak berubah.  Kasih yang Amir cari seperti dah jumpa.  Mak dan ayah sibuk dengan urusan masing-masing.  Amir cuma nak Hakim tahu, kehadiran Hakim membawa sesuatu  dalam hidup Amir.”
 
Aku semakin gelisah dengan apa yang Amir suarakan tapi kontrol je la kan, orang tengah suarakan perasaan, ada peluh yang mengalir di dalam baju sejuk aku.
 
“Untuk pengetahuan Hakim, Amir bukan seperti lelaki lain.”
 
“Huh?  Bukan lelaki?  Apa yang Amir cakap ni?” terkeluar akhirnya suara aku.
 
Amir senyum tapi kali ini tak kelat lagi.
 
“Amir dah bersedia dengan apa juga jawpan Hakim.  Amir tak pernah mempunyai perasaan pada perempuan.  Sebaliknya Amir meminati lelaki tapi Hakim jangan salah faham!  Amir bercakap atas dasar perasaan bukannya nafsu.  Amir dah terlalu jauh jujur dalam persahabatan kita, oleh itu Amir nak Hakim tahu yang Amir seorang lelaki gay.”
 
“Mmm…..” aku cuba bersuara.  Pening, pusing, hitam semua ada dalam kepala.
 
“Amir mula menyedari semua ini sejak di bangku sekolah.  Hingga sekarang tak siapa yang tahu tentang diri Amir kecuali Hakim.  Amir dedahkan semua ini bukannya untuk memalukan diri Amir sendiri tapi Amir nak melalui persahabatan kita dengan seikhlas mungkin.  Amir harap Hakim boleh terima Amir seadanya.”
 
SUNYI.  SEPI.
 
“Biar siapa pun Amir, Hakim akan tetap menerima Amir seadanya.  Dah terlalu jauh kita mengenali hati budi masing-masing sedangkan persahabatan yang ikhlas susah nak cari sekarang ni, Amir.  Tentang status Amir, lupakan saja.  Hakim tak ada masalah dengan semua tu cuma pandai-pandailah Amir melalui ujian ini.”
 
Amir senyum, kali ini lebih tenang.  Aku?  Apa yang nak aku katakana? 
 
Malam itu kami banyak berbual.  Amir menceritakan liku-liku hidupnya sebagai lelaki gay.  Dia terperangkap dengan perasaannya sendiri, dah macam-macam pendekatan dia cuba untuk berubah tapi dia tetap dirinya.
 
Dan aku semakin menyelami perasaan Amir.  Dia menang sebenarnya dalam ujian kehidupan tapi kemenangan dari sudut yang jauh berbeza.  Masyarakat memandang serong dengan kehidupan orang seperti Amir.  Tapi bagi aku Amir insane istimewa, makhluk Allah yang dilahirkan untuk melalui satu tamparan ujian yang terlalu besar iaitu perasaan!  Dia tetap dirinya tanpa cela tapi berperang dengan rasa sangsi, dilemma, mencari jawapan dalam persoalan yang bermain di fikiran.  Bagi dirinya, dia adalah ‘SESUATU’ yang perlu dihuraikan.
Sejak hari itu hubungan aku dengan Amir semakin rapat.  Kadang-kadang aku juga bagai mempunyai perasaan pada Amir…hehehe, bingung aku dibuatnya.  Dia yang semakin aku kenal penuh dengan keistimewaan.  Dan bayangan wajah Rina semakin pudar hinggakan aku terpaksa mengambil masa untuk mengingati bagaimana rupa wajah gadis yang pernah mencuri hati aku dahulu!  Benar.  Apakah aku kembali bercinta?  Tapi bukan dengan dara sebaliknya teruna…aku biarkan diri aku dengan jawapan yang tak pasti.  Aku sayang Amir, sayang seorang teman tapi kadang-kadang aku rasa lebih dari itu.  Aku mungkin betul dan mungkin juga tidak.  Yang aku tahu sekarang ini aku ada Amir!
 
Dah seminggu aku cuba menghubungi Amir, telefon bimbitnya hanya ada pesanan suara.  Di rumah sering tiada jawapan.  Mana perginya tukang gaji Amir?  Macam-macam perkara terlintas di fikiran aku.  Yang buruknya, aku cuba buang jauh-jauh.
 
Petang itu, aku ke rumah Amir.  Dan surat bersampul  biru menjawab segala pertanyaan aku.  Ibu Amir menyerahkan sebuah kotak kepadaku bersama surat itu.
 
Assalammualaikum.
 
Hakim, maafkan Amir dengan apa yang Amir sembunyikan.  Sewaktu surat ini di tangan Hakim, Amir sudah jauh melangkah ke alam yang sudah pasti tempat kita.  Kenangan bersama Hakim terpaksa Amir tinggalkan untuk meneruskan perjalanan ke sini.  Simpanlah semuanya agar diri Amir terus hidup di hati Hakim.  Janganlah Hakim merasakan satu penyiksaan atas apa yang telah berlaku ini kerana sudah tersurat janjiNya Yang Maha Esa, setiap yang hidup pasti akan merasai mati.  Amir tinggalkan Hakim dengan rasa rindu yang tak pernah padam.  Kehadiran Hakim benar-benar mengubah kesengsaran penyakit Amir.  Untuk pengetahuan Hakim, Amir menghidap kanser darah.  Amir telah berusaha untuk mengubati penyakit ini tapi kata doctor ianya sudah terlambat kerana berada di tahap kritikal.  Jika mampu, Amir mahu selama-lamanya dengan Hakim.  Dah banyak kegembiraan yang Hakim berikan untuk Amir.  Tapi kehendak Allah tak siapa dapat menghalang.  Yang pergi tetap pergi, cuma satu harapan Amir agar Hakim akan senantiasa mengingati diri Amir.  Doakanlah kesejahteraan Amir di sini.  Di sini, di ruang hospital ini tak ada lagi rasa gembira, Amir tahu bila-bila masa saja Amir akan dijemputNya.  Hanya yang punya tenaga, jari-jari ini menulis sepatah kata buat kenangan terakhir.  Ketahuilah, kasih sayang yang Hakim berikan selama ini adalah kekuatan untuk Amir menempuhi hari-hari terakhir dalam hidup Amir, terima kasih.  Amir mahu kesempatan ini terisi sepenuhnya.  Seperkara lagi, tolong sampaikan pada emak dan ayah yang Amir terlalu menyayangi mereka.  Amir tak salahkan mak ayah di atas ruang masa mereka yang terbatas cuma Amir harap adik-adik Amir akan mendapat kasih sayang yang lebih sempurna selepas ini.  Hakim, Amir ingin sangat Hakim duduk di sisi Amir di waktu ini, bercerita tentang kenangan kita.  Amir nak lihat wajah Hakim sepuas-puasnya.  Biarlah…bimbang juga kenangan terakhir ini akan menghantui Hakim.  Salam Sayang dari Amir, maafkan segala keterlanjuran selama ini, izinkan Amir pergi dengan penuh ketenangan.  Assalammualaikum.
 
          Muhammad Amir Shaifuddin                14 May 2003
 
“Bersama dengan surat itu, Amir berikan aku sebuah kotak berisi 103 kuntum bunga mawar putih yang kata emaknya dia buat sendiri.  Sehari sekuntum, hari dia menulis surat itu genap 103 hari kitaorang kenal. Jam tangan yang aku pakai ni pun milik Amir. Hadiah darinya untuk aku.  Ini yang tinggal, Is.  Harapnya Amir akan terus dalam kehidupan aku.  Malam itu dia mengalami sesak nafas dan koma,  kata emaknya lagi dia meninggal pada Subuh keesokannya.”
 
“Hakim, banyakkan sabar.” Iskandar memeluk bahu aku.
 
“Sejak kematian Amir, hidup aku kembali kosong, lebih pedih dari kehilangan Rina dulu.  Amir banyak tinggalkan kenangan untuk aku.  Aku tercari-cari seorang lagi ‘Amir’ dalam hidup aku.  Dua tahun dia pergi dua tahun juga hidup aku sunyi, Is.”
 
“Tapi Hakim….kalau Amir ada sekalipun, kau kena ingat dia lelaki.  Lelaki bukan untuk lelaki.  Kau jangan tersalah simpang.”
 
“Aku tahu itu, Is.  Aku masih tahu halal haram agama kita.  Yang aku maksudkan aku sayangkan perhubungan kami.  Dia ikhlas, dirinya penuh sopan, sayang, kasih dan segala yang aku inginkan.  Tak mungkin lagi aku jumpa orang seperti Amir. Aku tahu apa yang kau fikirkan sekarang, seperti biasa hubungan sebegini akan di salah anggap, mungkin pada kau kami hanya menurut nafsu, termakan pujuk rayu syaitan tapi kau salah, Is!  Kasih kami, sayang kami jauh dari itu semua, ini hakikat, soal perasaan, bukan mainan.”
 
“Errr….kau jangan salah anggap pada aku, Hakim.  Aku tak maksudkan macam tu…”
 
“Tak apa, Is.  Aku faham.  Lelaki mana pun yang mempunyai perasaan pada lelaki lain akan disalahtafsir kerana itu bukan ketetapan kan?  Dan aku tak pernah salahkan kau.  Dulu Amir datang menceritakan identitinya pada aku kemudiannya aku terperangkap dalam identitinya dan hari ini aku ceritakan pada kau….”
 
“Eh…apa maksud kau, Hakim?  Mmm…..satu hari nanti aku pun akan berperasaan macam kau?  Hhhehehe, kau jangan nak buat lawak!”  Iskandar cepat mencelah.
 
“Kita ni manusia biasa, Is.  Tak lepas dari melakukan kesilapan.  Jangan sesekali memandang hina pada manusia lain jika melihat mereka terkeluar dari landasan sebenar kehidupan sebaliknya kita yang bertanggungjawab sama sama menggalas masalah mereka, kita semua makhluk Dia, selagi kita di dunia, selagi itulah kita akan terus diuji.  Ingat tu….”
 
“Aku tahu….dulu aku pernah kenal dengan sorang mamat gay waktu aku chatting dulu, dia pun baik, tak macam chatters gay yang lain.” suara Iskandar.
 
“Apasal ko chatting kat channel gay?” sampuk aku.
 
“Aku….aku……..” Iskandar kantoi.
 
di balik cermin itu
tinggal seorang lelaki
yang melihat bayangan tubuhnya sendiri
 
tegap dan tampan
bisa memikat dara pujaan
dan juga teruna di jalanan
 
dan bersuara dirinya
hatiku hanya satu
untuk yang sudi
untuk yang memahami
 
hari ini bukan semalam lagi
yang penuh dengan kecewa dan air mata
 
tapi
hari ini ada rasa bahagia
yang mahu ku kongsi dengan mereka
mereka yang sudi bertakhta
 
biar masa terus berjalan
biar tercipta lagi kenangan
yang ada itu kesempatan
selagi punya yang ingin lena di ingatan
 
ingin ku suarakan pada semesta
aku pasrah dengan setiap takdirNya
kerana aku tahu
perjalanan ini satu ketetapan
tapi itu bukan satu keputusan
kerana aku punya pengorbanan
selagi hayat di kandung badan
 
bisikku pada yang tahu
hari ini kita bersama
terima kasih kerana di sana
moga terus kita selamanya
 
 
karya
 
( BUDAK PENANG )
 
 budakpenang2003@hotmail.com

Segalanya Bermula ....

Segalanya Bermula...di hari Jumaat, cerita suka duka seorang lelaki yang ada di dalam cermin.  Setiap hari melihat bayangan tubuhnya sendiri, ada seloka di sebalik wajah seorang 'teruna'.  Sesuatu yang boleh dikongsi bersama, sesuatu yang punya perjalanan sebuah kehidupan.  Thanks to Alangz, kerananya aku temui sebuah 'istana' yang aku buka pintunya kepada semua.  Di istana ni akan aku kongsi sebuah citra seorang lelaki.  Selamat Datang ke istanaku - istana seorang lelaki di dalam cermin!