Thursday, February 24, 2005

andai takdir itu milik AKU ...



Jika hitam telah pun tertulis, maka hitamlah hidupku kini, namun jika putih jadi hamparan, hanya syukur yang aku panjatkan, hari terus berlalu, usia makin mengejarku, dan aku...terus berlari mencari arah mana untuk aku diam menilai diri. Pernah aku ke kanan, tersungkur aku di daratan, pernah aku ke kiri, tenggelam aku di lautan, hajat hati mahu terbang tinggi, tangan pula tak mencecah awan. Sudahnya, aku masih di sini, terawang-awangan mencari haluan.

Bagai membuang masa, bagai insan buta biar ada cahaya di depan mata, laksana insan pekak yang hanya dengar sebelah telinga, juga seumpama insan bisu yang berbicara bila perlu - itulah ibaratnya diri aku, kadangkala yang jadi insan istimewa. Tak siapa simpati kerana bukan itu yang aku cari, tak siapa merasa biar aku yang tersiksa.

Merenung jalan kehidupan yang aku tinggalkan, salahkah aku dengan pengalaman? Terhumban di sini hanya kerana seorang insan dan mungkin juga aku yang tiada pegangan. Saat ini dia terus bahagia dengan hidupnya, saat ini aku juga bahagia dengan bayanganku sendiri, sesekali tersenyum mengubat sepi, kadangkala menangis mencurah hati namun tidak pada siapa sekalipun, kerna tiada yang menemani, kerna tiada siapa di sisi. Aku berdiri di cermin diri. Melihat lelaki itu. Aku bangga dengan lelaki ini, mata berkaca bukan intan tapi bawa maksud cermin kehidupan. Aku dan lelaki ini berpegangan tangan, berjalan, berpimpinan tapi belum bertemu sempadan.

Pernah cermin itu aku pecahkan kerana mahu lelaki itu wujud dalam realiti. Tapi dia hilang sesudah kaca berselerak di lantai usang. Darah di tangan bertukar warna, merah ke putih, bingung aku dibuatnya. Mahsuri darahnya suci tapi aku noda dan dosa tak terperi. Titik-titik darah itu jatuh menyembah bumi, hilang dibawah terik mentari. Layu. Lelaki itu hilang tak sudi bersua dengan aku.

Ku dirikan cermin baru dan lelaki itu muncul disisiku. Senyumku senyumnya jadi satu. Tak akan ku pecahkan lagi, biarlah aku terus di sini, melihat wajahnya yang menyimpan kisah pilu dan sendu dan di situ juga ada senyumnya yang bercerita tentang diri aku.

Semalam pastinya dah aku tinggalkan. Esok aku akan terus merantau, mengenali setiap manusia yang aku jumpa. Yang tak akan aku percaya pada cerita-cerita mereka, manusia yang senyumnya manis lebih dari gula. Esok juga adalah hari pertemuan, esok juga adalah hari perpisahan. Sampai bila? Sampai bila-bila.

Andai takdir itu milik aku, aku terima segalanya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Catatan yang menarik.
tapi saya rasa org macm awak ni, kalau dah tak ada kata untuk di katakan sekalipun,
sedikit senyuman dah jadi bulan dan matahari...

-ina-

9:45 AM  

Post a Comment

<< Home