Thursday, June 08, 2006

di sebalik cermin itu

di balik cermin itu
tinggal seorang lelaki
yang melihat bayangan tubuhnya sendiri

tegap dan tampan
bisa memikat dara pujaan
dan juga teruna di jalanan

dan bersuara dirinya
hatiku hanya satu
untuk yang sudi
untuk yang memahami

hari ini bukan semalam lagi
yang penuh dengan kecewa dan air mata

tapi
hari ini ada rasa bahagia
yang mahu ku kongsi dengan mereka
mereka yang sudi bertakhta

biar masa terus berjalan
biar tercipta lagi kenangan
yang ada itu kesempatan
selagi punya yang ingin lena di ingatan

ingin ku suarakan pada semesta
aku pasrah dengan setiap takdirNya
kerana aku tahu
perjalanan ini satu ketetapan
tapi itu bukan satu keputusan
kerana aku punya pengorbanan
selagi hayat di kandung badan

bisikku pada yang tahu
hari ini kita bersama
terima kasih kerana di sana
moga terus kita selamanya

secara tidak sengaja aku terjumpa puisi yang aku ciptakan di balik helaian buku nota harian. buku itu macam log book aku yang menemani aku sepanjang lebih kurang 40 hari di Jepun pada tahun 2000. tiba-tiba aku teringatkan kenangan pada satu malam semasa di sana aku tak boleh melelapkan mata. malam makin pekat, aku lepak di balkoni banglo tempat aku tinggal, aku duduk di muka pintu sambil tengok langit malam. akak wanie datang tegur napa aku masih belum tidur sedangkan dah pukul 2 pagi, menjelang jam 4 karang matahari dah mula bersinar. aku diam, aku pandang wajah akak wanie. aku tak tahu kenapa waktu itu hati aku terlalu cepat tersentuh. aku teringatkan si dia yang pernah datang dalam hidup aku. kali terakhir wajah kesayangan itu ada di depan mata pada tahun 1998 jadinya pada tahun 2000 dah dua tahun aku merinduinya. akak wanie bagaikan tahu apa yang ada dalam fikiran aku kerana dia juga mengetahui betapa kasihnya aku pada insan itu. aku peluk akak wanie, malam itu air mata aku tumpah di Awajishima. di sana juga aku nekad untuk belajar melupakan insan itu, aku mahu pulang ke Malaysia dengan diri aku yang baru. malam itu aku luahkan segala rasa yang ada pada akak wanie. tanpa kami sedari sang suria mula memancarkan serinya, aku ingat lagi akak wanie nyanyikan lagu malam tu untuk aku. hmm kenangan yang tak mungkin aku lupakan. sesungguhnya apa yang jadi itu kan satu suratan, aku perlu menerima segalanya. memangnya berat untuk diri kita lalui ujian kehidupan apatah lagi sebuah perpisahan, tahukah kita bertemu untuk berpisah sebenarnya!

2005 menemukan aku dengan Aisye, belum sampai setahun, mungkin masih baru tapi aku merasakan bagai telah lama kami bersama. cukuplah dengan segala kepahitan hidup selama ini, Aisye hadir bagai bawa cahaya untuk aku. kasihnya dapat aku rasakan walaupun kami sering berbalah atas perkara yang remeh temeh. cinta ini aku bawa dengan kedewasaan aku sendiri dalam menginjak usia. aku mahu melalui semua ini dengan penuh tenang dan lebih sederhana. anugerah ini tak akan aku sia-siakan, aku mahu menyayanginya yang menyayangi aku.

dia...yang pernah meninggalkan aku sedang cuba untuk kembali namun aku telah lama berikrar di bumi Jepun, tak akan ada lagi tempat di hati ini untuk dia. bukan kerana ego atau terlalu kecewa tapi hati ini terlalu berharga, aku hampir hilang maruah diri dan keluarga hanya berkorban untuk si dia, tak akan ada lagi perkara seperti itu ke kali yang berikutnya. aku simpati melihat dia yang bagai hilang arah dari hari ke hari tapi bukan niat aku untuk membalas derita. Tuhan itu Maha Kaya, Dia tahu apa yang telah aku rasakan selama ini, apa yang telah aku pendamkan jauh di sudut hati.

Aisye adalah hidup aku, dia bukan hanya hadir sebagai pengisi kekosongan tapi dia juga telah membawa makna dalam kehidupan aku. saat ini aku terlalu bahagia, tak terluah dengan kata-kata. hanya satu impianku, biarlah pertemuan ini punya akhirnya di hujung nyawa sahaja.

LELAKI TERINDAH

0 Comments:

Post a Comment

<< Home