Wednesday, November 07, 2007

entah mengapa ....

Saat ini aku jadi semakin jauh dari sesiapa yang pernah aku kenal, yang pernah aku sayang, yang pernah hadir dalam hidupku. Bosan aku menempuh semua pengalaman selama ini. Bosan dengan diri aku sendiri, yang terlalu mudah mempercayai, merelakan setiap perbuatan, memaafkan segala kealpaan manusia hanya kerana mahu menjaga hati. Dan selama itu juga aku berperang dengan diriku sendiri sedangkan aku tahu apa sebenarnya yang berlaku - hanya kerana sayang.

Kebelakangan ini jiwa aku tak tenteram. Bukan hanya kerana apa yang telah terjadi tapi juga kerana kesan terhadap apa yang terjadi. Segala perancangan seakan mati dan aku perlu menangani dengan penuh kesabaran setiap apa yang pernah aku angankan. Alhamdulillah aku masih gagah biarpun aku tahu keadaan tak semudah yang di sangka. Aku susun setiap perancangan kehidupan aku kerana aku sudah penat untuk jatuh lagi. Pada mereka memang mudah agaknya membuat keputusan tapi aku, sukar untuk meluahkan apa yang berlindung di balik hati ini. Pada Allah, aku serahkan diri, seadanya.

Selain itu, perasaan dalam hati ini terlalu sakit bilamana merenungkan apa yang telah aku lalui selama ini. Tapi, aku putuskan semuanya telah menjadi satu cerita yang tak perlu aku ungkikan, mungkin suratan yang tertulis untuk aku cuma bilamana semua ini telah berakhir dan kejujuran aku dipersoalkan, terasa bagai mahu membuka lembaran demi lembaran yang tertulis dalam hati ini seluas-luasnya agar manusia ini sedar diri. Jangan sampai kesabaran ini teruji.

Aku akui aku bukan malaikat yang bersayap di bumi tapi dengan izin Allah, aku dikurniakan perasaan yang senantiasa mahu memayungi, menutup mata atas kealpaan manusia lain hanya kerana sebuah perasaan - sayang. Dan bilatiba aku dipersoalkan tentang sebuah kejujuran, kepercayaan, segala tindakan, hmmm satu kesilapan besar! Saat ini mahu sahaja aku bersuara yang sepatutnya, mahu saja aku ikutkan hati mendedahkan segala apa yang perlu tapi hati ini masih lemah kerana aku tahu itu bukan aku, mencabar tindakan manusia lain...mempersoal segala yang terjadi dari orang yang pernah bertakhta di hati kerana tempatnya masih tinggi di sanubari ini. Cuma aku jadi sedih bila mengenangkan manusia ini mampu bersuara yang menyakiti hati, sudahlah tindakan lalu masih utuh dalam jiwa aku. Mengenangkan semua ini bulatlah kata hati aku, manusia mampu berbuat apa saja tanpa memikir dari dalam jiwa. Aku yang terasa kesannya tapi syukur kerana tidak dilahirkan seperti manusia ini.

Kata seorang teman aku satu ketika dulu, kdg kdg kita menjadi seorang yang negatif hanya kerana manusia lain yang melayani kita secara negatif. Sesuatu yang aku rasa ada benarnya, bukan kali ini saja tapi sebelum ini juga aku pernah melalui situasi ini. Hanya kerana aku tahu aku diperlakukan itu ini dalam diam, aku juga berperanan seperti itu malah lebih hebat rasanya. Hmm puas rasanya. Mujur aku sedar tak lama selepas itu dan sekarang itulah yang sedang aku lalui. Dendam? Mungkin, ada sekelumit ketidakpuasan. Biarlah, antara aku dengan Tuhan kerana Dia Lebih Mengetahui apa sebenarnya yang terjadi dalam kehidupan.

Noktah. Aku makin jauh dari dia. Biar apa saja kesimpulan yang akan ada selepas ini, bagi aku cukup segala rencah yang ditaburi dalam perhubungan ini. Kata-kata yang langsung tiada makna dalam kamus hidup aku, bukan ini yang aku pinta tapi ini yang aku terima. Positifnya, aku terima segalanya (sekali lagi) sebagai balasan pada apa saja kesilapan yang pernah aku lakukan, hanya dengan ini, hati aku mampu tenteram.

p/s: adakalanya berdiam diri itu lebih baik untuk menjawab segala persoalan. Moga manusia ini juga sedar diri, bukan hanya tahu menunding jari.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home