Sunday, January 30, 2005

Juliari Yunus & aku ....

Dia terselamat. Lebih sebulan yang lalu, dia merantau meninggalkan keluarga di Lamno ke Banda Acheh untuk bekerja sebagai pembuat perabot. Pemergiannya yang direstui keluarga itu rupa-rupanya adalah sebuah perpisahan yang panjang, untuk selamanya, dalam dirinya hanya ada niat untuk bekerja membantu kehidupan keluarganya yang penuh kemiskinan. Bayangkan, dalam sekelip mata, segala yang kita sayangi musnah begitu sahaja. Katanya lagi, ini bukan alasan kepada penyesalan sebaliknya dia hanya mahu mengambil masa untuk menenangkan fikiran dan akan terus mencari rezeki sebagaimana yang telah dijanjikan dahulu pada keluarganya. Air mata aku seakan murah. Bertakung dan mengalir perlahan sepertimana lesunya aku melihat kehidupan yang penuh dengan lakonan. Peristiwa ini adalah cebisan nasib sebahagian dari mereka yang terlibat dengan kemusnahan alam - tsunami.

Aku jadi diam, sejak lebih sebulan yang lalu, cerita cerita ini menghantui fikiran. Aku letak diriku sendiri di tempat mereka, pastinya bukan mudah untuk segalanya berlalu begitu sahaja. Dalam diam aku lihat di sekeliling, mereka - insan insan yang aku sayang. Aku sematkan di dalam jiwa ini bahawa kehidupan ini benarlah sementara, sesungguhnya aku besyukur dengan apa yang aku punya sekarang ini.

Melihat penderitaan manusia lain membuatkan aku sedar yang aku juga antara manusia yang banyak diuji dan semua ini sebenarnya menghadirkan aku dengan semangat baru. Dunia semakin hampir kepada 'pertemuan akhir'. Dan aku tidak mahu menjadi manusia yang lalai dengan semua ingatan yang diberikanNya.

Selagi kita punya masa .... fikirkanlah !

0 Comments:

Post a Comment

<< Home