Tuesday, January 30, 2007

PESTA FLORA 2007

Aku dapat event ni lebih kurang dua minggu sebelum berlangsung acara kemuncak Pesta Flora 2007 iaitu Perarakan Kerete Berhias, dalam tempoh tu la kena cari 6 Artis Budaya, lagu tema yang sesuai untuk 3 minit, pemilihan costume dan konsep bunga. Geram gak jadinya, organizer dah tahu awal tapi bagi keja last minit. Aku ambik gak event ni coz aku tak penah handle menda cam ni, anggap je sebagai cabaran.

KHAMIS - bertolak pagi dari Penang guna keta aku ngan keta Sham, aku bawak 4 je Artis Budaya dari Penang, baki lagi 2 aku nak ambik budak Akademi Seni Kebangsaan. Sampai kat area Bangi dah tengahari, kitaorang lunch kat kedai mamak jer. Hotel plak penuh. Aku call Encik Hamid, GM Hotel Residence, Uniten. Dulu aku penah stay sana more than 1 month untuk Penang Food & Cultural Promotion. Encik Hamid ni baik orangnya, tak der jurang atasan ngan bawahan. Katanya bilik semua dah penuh tapi tak per dia dapatkan bilik untuk aku gak, finally dapat la jugak 4 bilik. Check in dah kol 3 petang, mandi rehat jap je, kol 5 petang semua move ke Putrajaya untuk sesi latihan. Mulanya ingatkan latihan memasing je petang tu rupanya malam ada latihan perarakan la pulak nak timing masa untuk siaran langsung ari Sabtu karang, punya la tension jadinya. Penat tak abis banyak plak nak kena harung karang!

Malam tu sampai kat hotel dah tengah malam, masuk bilik ada burger 10 biji, Aeyn kasi. Aeyn ni staff Residence, dulu dah lama kenal so dah jadi erat mcm sedara sendiri. Ingat lagi masa birthday dia kitaorang semua kat sana so dia jemput gi umah makan nasi lauk sambal udang besar, punya la sedap. Dah lama tak jumpa dan kali ini ada kesempatan.

JUMAAT - Awal pagi pas sarapan aku, Syafiq, Ella ngan Aya move gi Setiawangsa, pejabat Auntie Mahani, kitaorang ambik kasut, bunga dan headgear untuk digunakan esok. Auntie sponsor sumer. Alhamdulillah. Balik hotel siap gi solat Jumaat pastu makan nasi kat bilik, Aeyn bawak sambal udang lagik! Hmmm sedapnya.

Malam tu kembali ke Putrajaya, sian dancers. Dorang dah siap awal lagi, rupanya sesi persembahan penilaian hakim kol 12 tengah malam. Macam macam rupa dah jadi, makeup semua dah cair. Macam-macam gelagat penari dapat aku tengok malam tu.

Aku sendiri kat bawah pokok kat area parking lot. Aku terkenangkan zaman aktif sebagai Penari dulu, ntah apa salahnya slalu je nama penari akan di pandang rendah. Aku akui ada penari yang sifat dan sikap dorang kurang enak dilihat tapi aku bukan seperti itu dan kenapa aku juga harus dihukum di mata masyarakat. Yang aku tahu dalam diri aku ada minat yang mendalam kepada seni tari, itu saja. Dan apa yang aku lakukan sekarang hanyalah saki baki minat yang tertinggal. Insan terdekat dengan aku sendiri memandang bidang ni dengan pandangan lain. Aku jadi bingung kerana aku tak mampu mempengaruhi pemikiran mereka. Biarlah...Allah itu melihat apa yang ada di bawah kuasaNya.

Sampai hotel malam tu dah hampir 2 pagi. Kol 4 pagi semua dancers dah bangun makeup dan siap. Aku bangun kol 5.30 pagi. Mengantuk teramat. Tolong dorang siap dan kitaorang move kol 7.30 pagi terus ambik position. Aku berdiri betol-btol berhadapan dengan pentas di Raja, hope dapat tengok dengan jelas. Satu persatu kontinjen lalu kat depan, menarik sangat! Kekadang tengok live cam ni walaupun terpaksa berhimpit best jugak! Kebanyakan negeri bertanding bawak at least 20 dancers tapi Penang ada 6 dancers je hehehhe aku sian gak kat diri aku ngan dancers coz hilang keyakinan tapi nak buat cam ner, budget Penang kureng agaknya! Sampai part Penang aku dengar Mahathir Lokman announced Penang won Hadiah Utama, aku punya hepi sangat sangat. Alhamdulillah penat 3 hari ni berbaloi la. Dancers punya performance so great! Dapat lihat kepuasan di wajah dorang. Lepas parade kitaorang tak nunggu lama, terus balik hotel.

Sampai hotel trus packing apa yang patut n pengsan. Kol 3pm baru move dari Bangi balik Penang. Perjalanan yang memenatkan sangat, dari Bangi nak kuar highway kitaorang sesat hampir 2 jam, sabar jer la. Tapi yang nyatanya pengalaman ini terlalu berharga untuk aku.

p/s : ada sesuatu yang aku belajar dari trip ini. Aku kenal siapa namanya manusia.

Wednesday, January 24, 2007

Antara ATOS & SPEKTRA

Hari ini antara hari terindah dalam hidupku, aku telah menghadiahkan diri aku dengan sebuah kereta baru - KIA SPEKTRA 1.6 (BLACK). Sejak tahun lalu aku berazam untuk memiliki sebuah kereta baru untuk menggantikan Atos. Bukan kerana aku merasakan Atos tu 'kureng' tapi ada faktor lain yang menggesa aku.

Aku banyak travel, aku perlukan sebuah kereta yang memiliki ketahanan tinggi di samping 'berpersonaliti' sesuai dengan jiwa aku. Lagipun family aku semuanya 'besar-besar' saiz badan dorang makanya aku perlukan kereta yang ruangnya lebih luas. Alhamdulillah hari ini aku berjaya memiliki apa yang aku perlukan.

Dalam pada tu aku rasa sayang sangat nak berpisah ngan Atos yang dah banyak berjasa pada aku. Hmm aku tak tahu napa aku kena rasa sedih macam ni tapi memang itu yang aku rasa nak wat macam mana! Walaupun agak kecil, Atos tu dah bawak aku ke KL, Teluk Intan, Taiping, Alor Star, Perlis, Ipoh hmmm aku btol rasa sedih sangat. Tapi aku tak perlu bimbang, aku bleh tengok Atos aku lagi, kawan baik aku yang paling aku sayang si ETON yang beli keta aku. Aku tau Eton akan jaga keta aku sebaik mungkin. Semalam masa aku kemas Atos, aku rasa sayu sangat. Aku memang sayang sangat kat Atos aku tu.

Ntahlah, mungkin Spektra akan membawa perubahan ke arah lebih kejayaan dalam hidup aku kerana aku berazam tahun 2007 adalah permulaan masa depan aku! InsyaAllah.

Thursday, January 18, 2007

jangan pernah berhenti BERDOA .....

Kebelakangan ini terlalu banyak ujian yang hadir dalam hidup aku sampaikan aku mula merasakan terlalu banyak kekurangan dalam diri. Sampai pada satu tahap aku mempersoalkan apa sebenarnya yang perlu aku lalui, apakah aku masih belum cukup baik dengan insan sekeliling aku selama ini. Kali ini aku benar-benar dicabar, tentang maruah dan harga diri! Dan mulai saat ini, semuanya sudah cukup! Aku sudah banyak bersabar dengan seorang teman yang pernah aku anggap darah dagingku sendiri - satu ketika dulu.

Pelajaran yang aku perolehi - sudah cukup berbuat baik dengan sesiapa saja, benar juga kata pepatah, buat baik berpada-pada. Sesungguhnya saat ini aku terlalu kesal dengan apa yang telah berlalu. Seumpama melepaskan anjing yang tersepit layaknya! Selama ini aku banyak berdiam diri, belajar bersabar dan menerima segala ketentuan tapi kali ini aku sengaja di cabar lagi dan bukan namanya aku sekiranya masih lagi seperti patung bernyawa, sabar manusia ada hadnya!

Aku hanya mahu jangan pernah berhenti berdoa. Aku mahu terus berdoa agar Allah tunjukkan segala jalan kebenaran agar dia sedar apa yang sedang dia lakukan kepada aku dari hari ke hari. Dengan lakunya, dengan kata-kata dustanya, ishk tak sanggup aku nak bercerita. Tidakkah dia pernah sedar segala nikmat dan limpah rezeki Allah ini juga boleh diibaratkan ujian kehidupan, moga dia tidak terleka.

Aku makin kebal dengan caci maki, teruslah berjuang untuk menfitnah aku selagi mungkin, semoga segala cerita yang berantai dari satu manusia ke manusia lain menjadi penyumbang dosa kepada hidup ko buat bekalan akhirat kelak!

Sunday, January 14, 2007

berikut adalah rentetan kehidupan .....

DIARI ANAK SENI

Aku dah lupa tahun bila tapi kenangan itu tak mungkin akan hilang. Sepanjang bergelar Artis Budaya, terlalu banyak pengalaman kehidupan yang telah aku lalui tapi ada satu peristiwa yang sampai kini masih di ingatan dan semalam ianya muncul lagi – jelas.

Satu malam, seperti kebiasaannya aku mengacarakan persembahan di Pinang Cultural Centre, Penang. Sebaik saja tamat persembahan malam tu, aku cepat-cepat salin costume coz aku tak berapa sihat. Mana tidaknya, masa tu aku keja di Pacific & Orient Insurance Co. Bhd dari jam 9-5 petang, balik keja trus masuk PCC sampai la abis show malam, hari-hari cam tu aku tak cukup rehat. Mamat waiter datang kat back stage bagitau ada guest nak jumpa, as usual aku ikut jer.

Sepasang suami isteri yang dah masuk lingkungan usia 60 tahun rasanya, si isteri kenalkan diri pastu terus kiss aku, si suami skadar senyum dan salam jer. Dorang kenalkan diri dari Germany, menyukai cara aku sebagai penyampai malam. Hanya ucapan terima kasih yang aku suarakan. Malam tu bermula dengan perbualan ringkas, segalanya bernoktah.

Esoknya aku dapat kiriman coklat sebelum memulakan persembahan, malam tu gak aku pegi visit dorang kat hotel, esoknya dorang berlepas pulang ke negara asal dorang.

Kami tak putus berhubung menerusi telefon ngan email. Dari hari ke hari hubungan bertambah erat, banyak kali aku ditawarkan ke Germany untuk bekerja dengan syarikat milik dorang tapi aku menolak, begitu juga dengan tawaran utk support aku study. Hmm semuanya bagaikan peluang keemasan tapi aku tolak, aku tak ada jawapan untuk itu. Stiap kali Krismas, ada saja hadiah yang akan aku terima. Aku dilayan cam anak sendiri setiap kali dorang datang sini malah aku dapat katakan, seperti putera raja layaknya.

Seperkara lagi, aku sering diusik dorang untuk dijodohkan ngan anak perempuan dorang. Kalau bab ni, sori la hehehe ntah la mungkin aku tak taste kat mat saleh kot. Dulu setahun 2-3 kali dorang turun Penang, skadar untuk berehat, usia emas la katakan. Slalu gak aku visit dorang tapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini dorang bagai tak wujud. Dan aku mcm tak penah kenal dorang sedangkan agak rapat gak dulu, aku pun jadi pelik cam ner la aku bleh lupakan dorang cam tu jer.

Smalam, aku dapat panggilan dari aunty, jauh dari Germany, katanya uncle skarang dalam ICU, ada masalah jantung. Januari uncle akan lalui operation yang kata doc, harapan hanya 40-60. Baru aku teringat yang aku ada ‘saudara’ yang telah lama aku lupakan. Aunty nangis kat hujung talian telefon, aku hanya mampu cakap ‘sabar’. Hmmm aku cam tak bleh terima dengan diri aku yang lupa dorang.

Aunty bagitau, uncle nak sangat aku visit dia. Aku diam. Banyak tanggungjawab aku kat Malaysia, kalau nak visit mau take time sminggu dua minggu. Skarang ni aku dalam dilema antara harapan orang dan urusan aku. Aku betul-betul dalam dilema.


BEZANYA KITA YANG BERNAMA MANUSIA (4-1-2007)

Minggu lalu, ada konflik tentang perasaan dalam jiwa aku. Ntah bagaimana nak aku ceritakan kat sini, yang aku tahu, aku terlalu mahu menjaga perasaan orang yang aku sayang tapi dia bukan sepertimana aku, seperti kebiasaannya, dia punya pendapat dan pemahaman yang tersendiri, mengikut apa yang perlu dia sampaikan dan seperti kebiasaannya aku perlu menerima tentang itu. Kerna SAYANG …..

Tiada penyesalan kasih ku korbankan
Andai telah tertulis ku terima
Ini bukannya ku pinta
Pergilah dikau diiringi keikhlasanku
Cuma pengalaman mengisi kekosongan mimpiku

Ku tinggalkan memori bersamamu
Ku undur diri bersama harapan

Tidak kesampaian cinta kita
Ku bawa harapan ku pendam rahsia
Ku di kejauhan mendoakan
Agar kau bahgia tiada lagi duka
Daku rela mengundur diri
Ku pasti dikau kan fahami

2007 telah menjengah usia sedangkan aku masih bersedih hati sebenarnya. Hari yang kian bertambah tapi aku seakan masih keliru dengan apa ceritanya kami berdua. Nyatanya aku terlalu sayangkan hubungan ini tapi aku tak sanggup berkorban segala perasaan lagi, siang malam aku berdoa agar dibukakan pintu akal fikirnya untuk menilai sejauh mana aku selama ini yang senantiasa ada saat dia memerlukan aku.

Semuanya seakan mendatangkan kesan pada aku. Tidur aku selalu terganggu, fikiran aku macam melayang-layang sedangkan terlalu banyak yang perlu aku lakukan untuk perniagaan yang sedang aku usahakan, segalanya jadi bercampur. Bila seorang sebegini, aku sering tertanya apa lagi yang akan mendugaku di hadapan.

Nyatanya inilah bezanya kita yang bernama manusia – PERASAAN. Dah banyak kali aku suarakan. Tapi terlalu sukar rasanya untuk satukan perasaan manusia pada paksi yang sama. Hari-hari yang aku lalui hari ini seakan tak seperti dulu lagi, entah kenapa perasaan suram itu semakin jelas di hati.

Aku yakinkan di hati, perjalanan hidup ini ada ketentuan. Sebagai hambaNya, aku berserah jika ini yang telah tertulis.


TIDURLAH DALAM SENYUMAN (9-1-2007)

Aku dapat artikel ni dari abang aku, penah satu ketika, kitaorang lepak dalam bilik, bual-bual kosong. Memasing luahkan masalah yang ada dalam diri kitaorang. Abang keluarkan sesuatu dari beg, katanya bila aku punya masa terluang, bacalah.

Aku dah baca dan aku nak kongsi kat sini ngan bloggers lain.

Buka hari anda dengan senyuman. Senyumlah! Anda akan berasa lebih segar. Sebaik saja anda membuka mata, senyumlah kepada yang tersayang. Mungkin dia juga menunggu untuk senyum kepada anda. Atau, bukalah tingkap dan pandanglah metahari yang sedang menanti anda. Ukirlah senyuman manis anda apabila melihat sinarannya. Pastikan hari anda lebih indah dari sebelumnya. Anda berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari anda. Jadi, pilihlah untuk mulakan hari anda dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir. Biasanya sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan baik.

Hadapi semua masalah dengan terbuka. Kemudian barulah bertindak. Mungkin hari ini anda sedang hadapi detik-detik sukar dalam hidup anda. Sekalipun kita tidak mampu mengelak dari masalah tersebut, kita mesti berjaya berdepan dengannya. Yakinilah, jika anda telah berusaha keras untuk menanganinya, hasilnya juga pasti berbaloi. Anda hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang kepada anda. Ia tetap datang. Cepat atau lambat sahaja. Dan sebenarnya kehidupan kita pada hari ini hasil daripada apa yang telah kita lakukan pada hari sebelumnya.

Hulurkan tangan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Meringankan penderitaan seseorang itu akan dapat meringankan hati anda. Andainya anda terlihat seekor rama-rama terkapai-kapai di permukaan air dengan badannya terbalik ke atas, ambillah sedikit masa untuk menyelamatkannya. Jika tergerak naluri untuk menyelamatkan rama-rama yang hampir kelemasan, tentulah anda tidak sampai hati membiarkan seorang manusia seperti anda menanggung kesusahan seorang diri. Paling tidak berilah sokongan kepadanya sekalipun anda tidak mampu menghulurkan bantuan yang lebih dari itu. Hari ini seseorang memerlukan anda tapi pada hari esok anda pasti memerlukan seseorang. Oleh itu patuhilah fitrah alam bahawa kita saling memerlukan.

Belajarlah untuk berkata benar. Kebenaran itu indah. Tapi harus berpada-pada. Pastikan kebenaran itu tidak melukai sesiapa. Mungkin kebenaran itu bermakna bagi satu pihak tapi menyakitkan bagi pihak yang lain. Letakkan diri anda di tempat pihak tersebut dan cubalah fahami situasinya jika berdepan dengan kebenaran yang bakal anda bentangkan. Tidak salah berkata benar malah memang anda dituntut untuk berbuat demikian. Tapi, nyatakannya dengan berhemah agar tidak melukai hati sesiapa.
Cuba hadkan keinginan harian anda. Keinginan yang terlampau banyak dan tinggi akan menambahkan tekanan dan kerisauan. Janganlah dalam sehari itu anda mengerah segala tumpuan dan usaha memiliki rumah besar, kereta mewah dan wang berjuta. Semua ini boleh menyebabkan anda tidak senang duduk.

Jangan sesekali membebankan hidup anda dengan memikirkan bagaimana caranya untuk mendapatkan semua itu serentak, pada hari itu juga. Penuhi keperluan asas anda dan keluarga terlebih dahulu. Kemudian, barulah focus kepada kehendak tersebut satu per satu.

Hargai dan fahami bahawa Tuhan merupakan pemilik yang agung. Anda perlu menerima hakikat bahawa apa yang menjadi milik anda pada hari ini hanyalah milikan sementara. Tiada yang kekal. Hari ini anda disayangi keluarga, rakan-rakan, teman sepejabat, tidak mustahil satu hari nanti situasi ini akan berubah. Mungkin hari ini anda mempunyai kereta cantik atau rumah yang besar tapi belum tentu anda akan memiliki benda yang sama pada hari esok.

Anggap saja ia sebagai amanat yang dipertanggungjawab oleh Tuhan kepada anda. Dan suatu hari nanti anda akan memulangkannya kepada yang hak iaitu Tuhan. Hargai dan syukuri apa yang ada dalam genggaman anda hari ini dan biarkan ia pergi jika memang telah ditakdirkan.

Sekiranya anda berjumpa seseorang yang lebih baik daripada anda, jangan sesekali membiarkan perasaan dengki menyelubungi diri anda. Kagumi kejayaannya. Dalam masa yang sama, fikirkan orang lain yang jauh lebih teruk berbanding anda. Anda sebenarnya bernasib baik jika dibandingkan dengan sesetengah orang yang terpaksa hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan. Jika anda fikirkan anda manusia yang malang ketahuilah bahawa di luar sana ramai lagi yang malang.

Berani mengakui kesalahan diri sendiri, ketepikan sejenak ego yang ada dalam diri, hati anda akan lebih tenang. Tiada siapa yang dapat lari dari membuat kesilapan. Itulah fitrah manusia seperti kita.

Sebelum melelapkan mata, insafilah semua rahmat yang telah dianugerahkan Nya kepada anda sepanjang hari itu. Ingatlah semua yang telah anda lakukan pada hari ini. Bermohonlah kepada Yang Maha Kuasa supaya anda kekal dalam rahmatNya untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana menjadikan diri anda seperti anda pada hari ini. Setelah itu pejamkan mata dengan bibir yang tersenyum serta hati yang bersih dan ceria.

So? Apa yang korang dapat simpulkan? Banyak kebenaran di sebalik baris-baris ayat ini, fahamilah sebaik mungkin. Aku mahu tidur dalam senyuman, memujuk hati lara.